Tukang masak bekas Tengku Temenggong nafi tembak mangsa

2011/02/21

TUMPAT: Tukang masak peribadi bekas Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakry Petra, Mohd Rusdee Hassan @ Thopearoh hari ini menafikan bahawa dia menembak pengawal Istana Negeri Kelantan Ramli Mohamad dalam kejadian di Palekbang, Tumpat pada awal pagi 1 Mei 2010.

Mohd Rusdee, 46, yang dikenali sebagai Chef Dee, berkata demikian dalam kenyataan tambahan di hadapan Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat di sini pada prosiding inkues menyiasat kematian Ramli hari ini.

“Bukan saya yang buat. Saya sedih dengan apa yang berlaku kepada Ramli dan keluarganya, tapi bukan saya yang buat. Saya tidak kenal dengannya sangat, tetapi dia pernah kenal dengan orang yang saya hormati, iaitu Tengku Salwani Petra (adinda perempuan Tuanku Ismail Petra).

“Harap keluarga dia faham, kerana keluarga dia marah sangat kerana ingat saya yang buat. Masa berlaku, saya tidak ada di sini, saya dan keluarga bercuti di Bukit Merah (Perak),” katanya.

Ketika kejadian, Ramli menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli, selepas bertugas di Istana Negeri Kubang Kerian.

Mohd Rusdee berkata insiden yang menimpa Ramli hanya diketahui melalui seorang lagi tukang masak istana dikenali sebagai Kak Hawa pada keesokan harinya.

“Saya sangat terkejut apabila dimaklumkan kejadian tembakan membabitkan pengawal istana. Sebelum itu, saya tidak tahu (kejadian tembak) sehinggalah dimaklumkan Kak Hawa yang menceritakan kejadian itu pada saya,” katanya.
Saksi ke-32 itu turut memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa beliau akan mendapatkan khidmat guaman kerana mendakwa diseksa ketika ditahan berhubung kejadian terbabit.

Ditanya mengenai perkenalannya dengan Ramli, Mohd Rusdee berkata, beliau sering bertemu dengan mangsa yang mengiringi Tengku Salwani Petra makan di Royal Guest House, tempat kerjanya sebelum ini.

Prosiding inkues bersambung pada 30 dan 31 Mac. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: