Makanan halal pengaruhi kesihatan tubuh badan

Sikap tak ambil berat pengguna Islam dorong penjual pandang remeh soal hukum

PEMBONGKARAN media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan betapa bahan makanan haram dijual sebagai ‘halal’ di pasaran di negara ini, dari semasa ke semasa membuktikan masalah ini bukan isu baru.

Bagaimanapun, setiap kali isu ini didedahkan media, barulah pihak tertentu akan ‘melompat’ dengan pelbagai bentuk tindakan. Yang terbaru mengenai pengenalan logo halal baru yang dilengkapi ciri keselamatan lebih ketat.

Sebenarnya isu halal haram ini berkisar kepada tiga perkara asas iaitu, sikap pengguna yang beragama Islam terhadap nilai halal haram makanan dibeli, sikap penjual sama ada mereka menghormati pantang larang orang Islam dan penguatkuasaan daripada segi tindakan dan undang-undang sama ada mencukupi untuk membendung perbuatan menipu logo halal dan sebagainya.

Ramai di kalangan kita suka memilih makanan kegemaran mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing. Ramai melihat kelazatan dan khasiat yang akan diperoleh tanpa meneliti sejauh mana ia sesuai untuk dimakan, terutama daripada segi kebersihan dan halalnya menurut syariat agama.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim bersabda; “Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih dari apa yang kami kurniakan kepada kamu”.

Baginda kemudian menyebut bahawa seorang lelaki yang sedang berjalan jauh dengan keadaan kusut masai rambutnya dan berlumuran debu. Manakala kedua tangannya pula menadah ke langit sambil berdoa, “Ya Tuhanku, pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka betapakah boleh diperkenankan oleh Allah SWT doanya.”.

Makanan yang suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan yang berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan pada masa yang sama akan kebersihan dan kesuciannya daripada segi syariat agama.
Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud; “Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.”

Islam begitu menitikberatkan soal kesihatan umatnya. Seseorang insan mukmin yang sentiasa prihatin terhadap soal kebersihan dan kesucian makanannya setiap hari, maka pasti akan lahir nur keimanan dalam dirinya untuk turut sama menjaga kebersihan diri secara keseluruhannya termasuk pakaian, tempat tinggal, tubuh badan dan sebagainya.

Dalam ibadat asas agama iaitu solat sendiri, aspek terpenting yang ditekankan ialah perihal kebersihan diri. Allah tidak akan menerima solat hambanya yang beribadat dalam keadaan kotor dan hina. Ia sesuai dengan maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan Ibnu Hibban iaitu; “Menjadi bersihlah kamu kerana sesungguhnya Islam itu bersih.”

Islam begitu syumul dalam pemilihan makanan yang bersih dan halal. Dalam surah al-Nahl ayat 114-115, Allah Taala berfirman; “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang di dalam keadaan yang terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.”

Makanan yang haram, sama ada daripada bahan dicampur najis dan benda syubhah atau daripada punca yang tidak halal dan syubhah, maka pasti akan datang tiga bahaya besar kepada sipemakannya.

Pertama, makanan itu akan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia berasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat dan bencikan kerja kebajikan dan ketaatan. Kedua, sebarang doanya tidak akan dimakbulkan Allah dan ketiga, ia akan menyebabkan dia akan mendapat keseksaan neraka Allah di hari akhirat kelak.

Apa jua bentuk makanan yang halal dan bersih perlu diikuti dengan peraturan memakannya sebagaimana disarankan agama Islam yang suci. Makanan seimbang umpamanya akan dapat menghindarkan diri seseorang itu daripada dihidapi penyakit tertentu.

Rasulullah menyarankan agar perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara. Amat bertepatan dengan kaedah ilmu Sains dan Kesihatan sendiri, itu sebenarnya yang amat sesuai dan perlu diamalkan setiap manusia.

Insya-Allah jika cukup jumlah yang disarankan Rasulullah itu, sudah pasti kita bukan saja akan dapat merasa nikmat kenyang, tetapi juga hidup akan lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah Taala.

Daripada aspek adab pemilihan makanan pula, insan mukmin perlulah menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka, dari tin yang sudah berkarat, makanan yang sudah layu dan sebagainya. Kita memakan sesuatu jenis makanan adalah untuk mendapat sejumlah tenaga yang mencukupi daripada zat yang terkandung di dalamnya.

Islam dan ilmu kesihatan begitu intim hubungannya. Sejak kecil ketika manusia dilahirkan dalam bentuk bayi, maka makanan atau minuman awal yang masuk ke dalam perut seseorang bayi adalah susu ibunya. Selain terjamin kebersihan dan sucinya dari segi syariat, susu ibu adalah pemangkin terawal untuk menyemai kasih sayang antara seorang ibu dan anaknya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: