Malu penanda aras ketakwaan Muslim

Sifat takut kepada tuhan benteng halang dosa, dorong umat Islam lakukan kebaikan

BANYAK kejadian yang melemahkan umat Islam mutakhir ini berpunca daripada hilangnya sifat malu. Ada segelintir tidak segan silu melanggar perintah agama malah berasa bangga kerana berani melakukan maksiat kepada Allah.

Mereka seolah-olah mencabar kekuasaan Allah dengan mematuhi maksiat dan memerangi syariat. Ada juga lupa sifat tidak malu melakukan kejahatan berpunca daripada hilangnya rasa perhambaan kepada Dia Yang Maha Melihat.

Justeru, mereka hanya malu kepada manusia dan apabila tiada yang melihat, mereka melakukan maksiat.

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah ‘Amir: “Sesungguhnya antara yang didapati manusia daripada ucapan Nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Hadis itu menunjukkan tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja kerana tidak takut seksaan Allah. Mereka berbuat apa saja tanpa memikirkan kesannya kepada diri, masyarakat, negara, bangsa atau agama.

Manusia memilih menjadi malu berasaskan dua keadaan iaitu kerana memang pemalu atau cuba menanam sifat malu. Sama ada kita memang seorang pemalu kerana mewarisinya daripada ibu bapa atau mengupayakan malu melalui latihan bukan persoalannya.

Sifat malu perlu ada kerana ia membawa kebaikan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Malah, malu seiring iman. Jika seseorang itu tiada sifat malu, sudah tentu ia jauh daripada keimanan kerana malu adalah benteng yang menghalang melakukan dosa.

Abu Sa’id Al-Khudri menggambarkan sifat malu Baginda SAW sebagai lebih pemalu daripada seorang gadis, bahkan apabila tidak menyukai sesuatu, sahabat boleh mengetahuinya daripada wajah Baginda.

Namun, perlu diingat sifat malu dalam Islam ialah malu melakukan perbuatan jahat dan maksiat, bukannya malu membuat kebaikan atau menyeru kepada kebenaran. Justeru, malu menghadapi yang hak bukanlah sifat malu dibawa Rasulullah SAW, sebaliknya sifat lemah yang boleh menjahanamkan agama serta membelenggu Islam terus gah di persada dunia.

Ibnu Rajab Al-Hambali berkata, malu yang dipuji dalam ucapan Rasulullah SAW adalah akhlak yang mendorong seseorang melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, rasa lemah menyebabkan seseorang mengurangi hak Allah SWT ataupun hak hamba-Nya.

Sifat lemah merujuk keadaan tidak positif, tiada iltizam, kesungguhan mencapai sesuatu disebabkan kekangan peribadi, iaitu tiada keyakinan, kekuatan fizikal serta takut kemungkinan gagal.

Jangan pula kita jadikan sikap malu sebagai penyebab kelemahan umat Islam hari ini dalam urusan ilmu, pentadbiran atau kepentingan umat. Malu bertoleransi dalam urusan agama untuk menjulang kebenaran sebenarnya menunjukkan kelemahan yang nyata.

Begitu juga jangan malu mengaku salah, jika akur pada hakikat Allah mem buka seluruh keaiban semata-mata kerana perhitungan di Padang Mahsyar (melainkan kita tidak membuka keaiban orang lain).

Maka, akui kesalahan semoga ia menjadikan kita manusia yang dihargai. Tetapi jika terus menegakkan benang yang basah kerana malu, ketahuilah kita akan menjadi manusia paling lemah akhirnya.

Betapa jauh amalan kita dengan Rasulullah SAW dan sahabat. Mereka berhias dengan rasa malu yang hakiki, menahan diri daripada perbuatan keji, bukan supaya disanjung tinggi, tetapi kerana takutkan Rabbul Izzati.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: