Panduan Kepada Musafir

Solat Qasar Dan Jamak Zohor Dengan Asar Pada Hari Jumaat

Huraian Tajuk/Isu:

Kertas ini dikemukakan kepada Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ untuk mendapat pertimbangan dan pandangan mengenai solat Qasar dan Jamak Zohor dengan Asar pada hari Jumaat.
Keputusan:

Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (Fatwa) Negeri Selangor dalam persidangannya yang bertarikh 29 April 1999 telah membincangkan perkara di atas dan keputusannya adalah seperti berikut :

‘Jawatankuasa Fatwa kali 1/99 memutuskan bahawa perkara ini merupakan hukum yang telah sedia ada’.
Keterangan/Hujah:
LATAR BELAKANG

1. Solat Qasar adalah satu keringanan bagi orang yang bermusafir serta memenuhi syarat untuk melakukan solat Qasar. Orang yang bermusafir tidak diwajibkan solat Jumaat berdasarkan Hadith :

Maksudnya : Tidak diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir.

Jika orang yang tidak diwajibkan solat Jumaat menunaikan solat Jumaat bersama orang ramai (orang yang diwajibkan solat Jumaat), maka dikira sah solat itu dan tidak diharuskan solat fardhu zohor kerana mereka menanggung kesulitan sebagaimana juga orang musafir yang melakukan puasa, sedangkan orang yang bermusafir tidak diwajibkan berpuasa tetapi jika dia berpuasa maka puasanya dikira sah. Ini kerana setiap orang yang sah solat zohornya tetapi tidak diwajibkan solat Jumaat. Apabila ia menunaikan solat Jumaat, maka solatnya dikira sah mengikut ijma”, sebab sah bagi orang yang tidak uzur, maka tentulah lebih sah bagi orang uzur.

2. Sehubungan dengan itu, berbagai pandangan ulama” dikemukakan. Antaranya :

Mazhab Hanafi

Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk bermukim atau tinggal selama 15 hari.

Mazhab Maliki

Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk bermukim atau tinggal selama 14 hari genap atau lebih, walaupun dengan adanya orang musafir itu tidak semestinya sah berjumaat (kerana orang musafir tidak dikira dalam bilangan Jemaah yang membolehkan sah solat Jumaat)

Mazhab Syafii

Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir yang berniat untuk tinggal di sesuatu tempat selama 4 hari dan musafir yang memulakan perjalanannya setelah terbit fajar subuh pada hari Jumaat. Tetapi sekiranya dimulakan perjalanan sebelum terbit fajar subuh maka tidak diwajibkan solat Jumaat

Mazhab Hanafi

Diwajibkan solat Jumaat ke atas musafir sekiranya ia berniat untuk tinggal selama 4 hari lebih ataupun musafir dengan tujuan maksiat. Ini bertujuan supaya maksiat tidak menjadi dasar kepada keringanan daripada kewajipan solat Jumaat atau kerana jarak antara tempat dia berada dengan tempat yang dilakukan solat sejauh satu fasakh atau kurang atau jarak jauh musafir itu kurang daripada jarak yang dibenarkan Qasar solat.

Rujukan : Fiqh dan Perundangan Islam (jilid II)

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my

 

SYARAT-SYARAT MEMBOLEHKAN SOLAT JAMAK DILAKSANAKAN

[1] – Bermusafir

Seperti yang telah disebutkan oleh hadis dari Ibn Abbas:

صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جميعا. والمغرب والعشاء جميعا. في غير خوف ولا سفر

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan solat Zuhur dan Asar secara jamak di Madinah bukan kerana ketakutan atau bermusafir. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahih Muslim – hadis no: 705]

Hadis di atas menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamakkan solat kerana ketakutan, musafir, juga atas sebab lain selain daripada sebab yang disebutkan. Sila lihat syarat-syarat lain di bawah.

[2] – Suasana yang sukar atau sulit

Apabila menghadapi kesukaran melaksanakan solat pada waktunya, hukum asal solat fardhu yang telah sedia ditetapkan pada waktu yang tertentu boleh berubah kepada meghimpunkan dua solat ke dalam satu waktu. Ini bertujuan membebaskan umat Islam daripada kesulitan yang ditempuhi. Kesukaran ini termasuklah sakit, menaiki bas yang tidak berhenti ketika kembali ke tempat asal sehingga luput waktu dan sebagainya. Ketika ditanya kepada Ibn Abbas radhialllahu‘anhu tentang mengapa dibolehkan solat jamak, beliau menjelaskan:

أراد أن لا ‏ ‏ يحرج أمته

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya. [Atsar sahabat yang dikeluarkan oleh Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud – hadis no:1211]

[3] – Jamak kerana hajat yang benar–benar mendesak

Contoh keadaan memerlukan solat dijamak kerana hajat adalah apabila berdepan dengan keadaan yang memaksa untuk tidak dapat melakukan solat pada waktunya seperti doktor yang perlu melakukan pembedahan berjam-jam lamanya, seandainya beliau berhenti walaupun sebentar akan memudaratkan pesakitnya. Pelajar di luar negara yang menduduki perperiksaan atau terpaksa menghadiri kelas yang meliputi waktu solat yang pendek. Pegawai-pegawai keselamatan yang terpaksa mengawal sesuatu tempat dan keadaan tidak mengizinkan beliau meninggalkan kawasan jagaannya kerana kritikalnya suasana tersebut dan pelbagai lagi situasi seumpamanya. Dalilnya adalah:

عن عبدالله بن شقيق، قال: خطبنا ابن عباس يوما بعد العصر حتى غربت الشمس وبدت النجوم. وجعل الناس يقولون: الصلاة. الصلاة. قال فجاءه رجل من بني تميم، لا يفتر ولا ينثني: الصلاة. الصلاة. فقال ابن عباس: أتعلمني بالسنة؟ لا أم لك! ثم قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء.
قال عبدالله بن شقيق: فحاك في صدري من ذلك شيء. فأتيت أبا هريرة، فسألته، فصدق مقالته.

Abdullah bin Syaqiq berkata: Mohon ampun dan Maaf Ibnu Abbas berpidato (memberikan kuliah/syarahan) kepada kami di Basrah selepas Asar sehingga terbenam matahari dan terbit bintang-bintang. Ini menyebabkan manusia yang hadir berkata: Solat, solat. katanya lagi: Lalu datang seorang lelaki dari Bani Tamim memperingatkan: Solat, solat. Lalu Ibnu Abbas berkata: Apakah engkau mengajar kepadaku sunnah? Sungguh tidak berguna kamu! Kemudian berkata: Aku melihat Rasulullah s.a.w. menjamakkan sembahyang antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak.

Abdullah bin Syaqiq berkata: Penjelasan Ibnu Abbas itu tidak memuaskan hatiku. Kemudian aku pergi kepada Abu Hurairah, dan bertanyakan hal tersebut, maka dia membenarkan perkataan Ibnu Abbas. [Dikeluarkan Imam Muslim di dalam Sahihnya – hadis no: 705]

Riwayat di atas menjelaskan bahawa Ibnu Abbas menjamakkan sembahyang dalam keadaan bukan kerana bermusafir, bukan kerana ketakutan dan juga bukan kerana hujan. Di dalam kes ini dia telah menjamakkan solatnya ketika berada dalam urusan penting, iaitui pidatonya/syarahan/kuliahnya itu. Dia mengetahui jika syarahannya itu dihentikan maka akan hilanglah kemaslahatannya (kebaikan – pent.). Menurut perkiraannya meneruskan syarahan dianggap suatu hajat yang membolehkan jamak. [Lihat Koleksi Hadis Hukum, Prof. T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, Penerbitan Bulan Bintang, jil. 4, ms. 350]

Syaikh Athiyah Saqr rahimahullah berkata:

“…Maka sekumpulan ulamak dari kalangan para imam telah bertindak mengambil zahir hadis Ibnu Abbas. Maka mereka mengharuskan mengerjakan jamak ketika hadar, iaitu tidak dalam musafir, hanya kerana hajat semata-mata. Tetapi dengan syarat ia tidak dijadikan sebagai adat (kebiasaan atau kelaziman –pen). Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari mengatakan: Dan orang-orang yang berpendapat demikian ialah Ibnu Sirin, Rabi’ah, Ibnul Munzir dan al-Qaffal al-Kabir. Dan telah diriwayatkan oleh al-Khitabi dari satu jamaah dari kalangan ahli Hadis. Hujah mereka (mengharuskan perbuatan jamak kerana hajat itu) ialah untuk menafikan kepayahan selama di sana terdapat suatu hajat/keperluan, antaranya ialah seperti kesibukan Ibnu Abbas terhadap pidato/khutbahnya.” [Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam, jil. 13, ms. 424-425]

Dalam melaksanakan solat jamak kerana kesukaran atau hajat harus diambil perhatian bahawa

a) Tidak dijadikan kebiasaan sehingga ianya dilakukan dalam keadaan tanpa ada sebab yang benar-benar mendesak kerana perintah asal bagi ibadah solat fardhu ialah dalam waktunya yang sedia termaktub lima kali sehari.

b) Hajat hendaklah benar – benar mendesak dan tidak boleh dielakkan, jikalau ianya (hajat) ditinggalkan maka ianya akan membawa kepada hilangnya maslahat atau kebaikan yang lebih besar.

c) Ianya tidak dijadikan alat untuk mempermain – mainkan agama dan alat untuk mereka yang malas mengerjakan solat untuk mengambil mudah di atas urusan agama.

Sumber rujukan :  http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

 

Soal Jawab :

 

JAMAK SOLAT JUMAAT DENGAN ASAR

Soalan : Bolehkah solat Jumaat dengan solat Asar ?

Jawap : Boleh melakukan jama’ taqdim solat Jumaat dengan Asar. Tetapi tidak boleh jama’ ta’khir, kerana solat Jumaat hanya pada waktu zohor sahaja. Caranya mengerjakannya: setelah solat Jumaat 2 rakaat kemudian bangun untuk solat Asar 2 rakaat (jika jamak qasar). Wallahu a’lam.

MUSAFIR PADA HARI JUMAAT

Soalan : Bolehkah seseorang yang bermusafir pada hari Jumaat untuk melakukan solat jama’ qasar?

Jawap : Terdapat dua jawapan bagi persoalan di atas. Jika seseorang bermusafir selepas fajar (subuh) maka wajib seseorang itu melakukan solat Jumaat iaitu berhenti di mana-mana masjid untuk solat Jumaat ( tidak boleh solat zohor). Tetapi sekiranya bermusafir sebelum fajar (subuh) maka boleh solat jama’ dan qasar (niat solat zohor). Wallahu a’lam.

MASBUQ SOLAT JUMAAT

Soalan : Saya telah  lewat datang masjid untuk solat Jumaat. Bila saya masuk jemaah, imam telah masuk rakaat yang ke dua. Apa yang perlu saya lakukan? Sama ada menambah satu rakaat ataupun solat zohor sahaja?

Jawap : Dalam kes ini anda perlu menambah satu rakaat lagi. Tetapi jika anda lewat, dan imam telah masuk rakaat kedua, maka anda perlu menambah empat rakaat (solat zohor). Wallahu a’lam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: